Tuesday, 15 July 2014

Keadaan Serta Cara Puasa dI Kutub Utara & Selatan



Waktu solat dan puasa adalah piawai bagi umat Islam di seluruh dunia ditetapkan mengikut peredaran matahari.

Hal ini disebabkan oleh faktor geografi, bentuk bumi, kecondongan paksi bumi dan peredaran bumi dalam orbitnya mengilingi matahari yang berbentuk elips.

Kerana itu waktu solat dan waktu puasa mungkin boleh berubah mengikut pertukaran musim disebabkan perbezaan kadar siang dan malam.

Daripada Abdullah bin Amru r.a. bahawasanya Nabi s.a.w bersabda,

"Waktu zuhur bermula dari tergelincir matahari di mana bayang seseorang itu sama panjang dengan tingginya selagi tidak masuk waktu asar, waktu asar pula berakhir sehingga cahaya matahari menjadi kuning (matahari hampir terbenam), waktu sembahyang maghrib pula akan berakhir sehingga hilang awan merah dilangit sebelah barat. Waktu isyak pula berakhir sehingga pertengahan dari setengah malam. Waktu sembahyang subuh pula ialah dari terbit fajar sehingga terbit matahari". [Hadis Riwayat Muslim]

Begitulah huraian masa bermulanya solat fardu 5 waktu :-

  • Waktu zuhur bermula dari tergelincir matahari sehingga bayang seseorang itu sama panjang dengan tingginya.
  • Waktu asar bermula dari bayang seseorang itu lebih panjang dari tingginya yang sebenar sehingga matahari hampir terbenam.
  • Waktu maghrib bermula ketika tenggelam matahari sehingga hilang tanda-tanda merah (syafaq) di sebelah barat.
  • Waktu isyak bermula dari hilang tanda-tanda merah matahari (syafaq) dilangit sehingga pertengahan dari setengah malam.
  • Waktu subuh ialah bermula dari naik fajar hingga terbit matahari.

Manakala, puasa pula berertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar matahari (waktu subuh) sehinggalah terbenam matahari (waktu maghrib).




Persoalan : Bilakah waktu Solat dan Puasa di Kutub Utara atau Kutub Selatan?

Lokasi yang berada tepat di Kutub Utara mahupun Kutub Selatan yang mengalami waktu siang sehingga 6 bulan lamanya dan kemudian diikuti pula dengan suasana waktu malam 6 bulan lamanya.

Jika masa masuknya waktu solat berpandukan matahari, waktu solat subuh hingga waktu solat subuh yang berikutnya mengalami tempoh masa yang agak panjang iaitu 6 bulan.

Firman Allah SWT :-

"Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." [Surah An Nisa' : 103]

Begitu juga waktu mula dan waktu berbuka puasa, jika berpandukan matahari dalam tempoh sebulan Ramadhan mungkin mengalami waktu siang atau waktu malam 24 jam. Tiada terbit fajar matahari (waktu subuh) atau terbenam matahari (waktu maghrib).


Jawapan : Waktu Solat dan Puasa di Kutub Utara atau Kutub Selatan

Persoalan di atas sememangnya telah menjemput para ahli fiqh sepanjang zaman kepada diskusi serta pengkajian yang amat mendalam. 

Dalam menghadapi persoalan ini, para ahli fiqh mempunyai beberapa pendapat, antaranya ialah:
  • Tetap berpuasa mengikut kiraan waktu asal di lokasinya.
  • Tetap berpuasa mengikut kiraan waktu asal di lokasinya. Akan tetapi jikalau waktu tersebut terlalu panjang sehingga memberatkan atau memberi kesan negatif kepada kesihatan atau dijangkakan secara pasti ia akan memudaratkan kesihatan, maka dia tidak perlu berpuasa tetapi wajib diganti semula pada masa lain apabila musim telah berubah sehingga membolehkan tempoh perbezaan waktu yang sederhana antara Fajar dan Maghrib (musim luruh atau musim bunga).
  • Berpuasa dengan merujuk kepada kiraan waktu bandar Mekah atau Madinah, tempat turunnya wahyu serta di mana perbezaan antara waktu siang malamnya adalah sederhana.
  • Apabila seseorang itu berada di suatu lokasi yang tidak mempunyai waktu Fajar dan waktu Maghrib seperti di daerah-daerah Kutub Utara dan Selatan, maka para ahli fiqh mencadangkan:
  • Berpuasa dengan merujuk kepada waktu Fajar dan Maghrib mana-mana lokasi atau pusat komuniti Islam terdekat yang mempunyai peredaran siang dan malam yang jelas, di mana telah tersedia kiraan-kiraan waktu solat.
  • Jikalau tiada lokasi terdekat sebagaimana yang dimaksudkan di atas maka hendaklah dibuat kiraan waktu solat mengikut garis lintang 60 darjah utara atau selatan dengan merujuk kepada jadual Almanac atau alat-alat kiraan elektronik.
  • Merujuk kepada kiraan waktu-waktu solat bandar Mekah atau Madinah, tempat turunnya wahyu.
  • Antara pendapat-pendapat di atas, boleh diambil mana satu yang diyakini dan dicenderongi kerana setiapnya adalah merupakan ijtihad serta nukilan pandangan dari orang-orang yang sememangnya ahli lagi pakar dalam bidang hukum-hukum agama.


Kita sebagai orang awam boleh merujuk dan membanding antara hujah-hujah mereka kemudian mengambil yang dirasakan terbaik.

sumber



Kalau suka LIKE,Follow sahaja, Jangan lupa Comment. TQ

0 comments:

Post a Comment