KUALA LUMPUR: Perodua mengurangkan harga atas jalan semua varian Viva sehingga RM5,300, berkuat kuasa hari ini, di semua 181 premis jualannya di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan, Perodua berkata ia juga akan memberi bonus tunai RM800 kepada mereka yang menempah Viva mulai hari ini hingga 31 Ogos.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh berkata selain habuan itu, pelanggan juga disediakan pakej perkhidmatan percuma selama tiga tahun yang kini ditawarkan kepada semua pelanggan baharu Perodua.
Model Viva AM6BXD kini berharga RM22,000 (selepas pengurangan RM3,000) dan Viva AM1EZD RM36,800 (selepas pengurangan RM4,500) manakala model Viva AM8EXD, AM1BZD dan AM1GXD pula masing-masing berharga RM27,900, RM29,900 dan RM32,900 selepas harga jualannya dikurangkan sebanyak RM5,300.
"Pengurangan harga itu dibuat hasil inisiatif penjimatan kos kami yang dilaksanakan sejak 2011.
"Harga baharu ini akan membantu pengguna di seluruh negara untuk memiliki kenderaan mampu milik berkualiti tinggi, terutama menjelang Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Hari Merdeka, kata Aminar Rashid.
Sumber- Astro Awani
0 comments:
Post a Comment